stam

stam
Home » , » WANITA MUSLIMAH TERAS KEBANGKITAN UMMAH

WANITA MUSLIMAH TERAS KEBANGKITAN UMMAH





Anda pernah tonton siri Ini Kisahku di TV9? Jika belum, saya syorkan anda tonton dahulu video-video ini sebelum sambung membaca apa yang hendak saya sampaikan.
Sudah saksikan? Dapat tak lihat persamaan antara ketiga-tiga video ini? Mungkin ada banyak persamaan yang anda dapat lihat, tetapi saya ingin sentuh tentang satu persamaan ini.
Jika anda lihat, mereka bertiga bertemu hidayah untuk berubah menjadi hamba yang mengenali Allah serta taat kepada Allah dengan cara yang amat berbeza. Seorang mendapat hidayah pabila menjejakkan kaki ke Mekah. Seorang mendapat hidayah melalui seorang kawan dan hobi ‘jalan-jalan cari masjid’. Seorang lagi mendapat hidayah apabila ditimpa suatu kemalangan yang dasyat yang hampir-hampir melumpuhkan kakinya dan menyebabkan dia tidak boleh melahirkan zuriat. Walau mereka semua mendapat hidayah melalui pelbagai cara yag berbeza, namun kita dapat lihat, bahawa ibu mereka turut sama mendoakan moga anak mereka mendapat hidayah. Iya, dalam ketiga-tiga kisah ini, ibu setiap satu daripada mereka sering menasihatkan agar mereka tetap mendirikan solat, juga tidak pernah berhenti mendoakan agar anak-anak mereka mendapat hidayah.



Peranan doa seorang ibu itu memainkan peranan yang penting dalam penghijrahan mereka mencari Allah. Dan saya pasti anda tahu kenapa ia penting. Tidak lain tidak bukan, kerana doa seorang ibu itu sangat mustajab. Bukan saya mengatakan bahawa seorang itu tidak akan dapat mendapat hidayah jika ibunya tidak mendoakan mereka; namun melihat kepada video-video diatas, saya pasti bahawa kerana doa ibu-ibu mereka lah perjalanan mereka mendekati Allah menjadi lebih mudah. Ya, mereka amat bertuah kerana mempunyai seorang ibu yang mendoakan agar mereka bertemu hidayah Allah setelah menyusuri zaman jahiliah.
Kepada sahabat-sahabat perempuan saya, senior-senior perempuan saya, juga adik-adik akak yang akak sayang, ingatlah, suatu hari nanti kita akan menjadi seorang ibu. Kita akan punyai anak-anak kita sendiri. Lantas, hebat atau buruk nya generasi anak-anak kita terletak di bahu kita. Kerana kitalah yang akan mendidik anak-anak kita, dan kita jua lah yang memegang doa sakti yang sangat berkesan ke atas anak-anak kita. Adakah kelak kita akan menjadi seorang ibu yang mendoakan kebaikan anak-anak kita? Adakah kelak kita akan menjadi seorang ibu yang mendoakan agar anak-anak kita menjadi anak-anak yang soleh solehah, yang mendirikan solat, yang mengeluarkan zakat, yang melakukan amar makruf dan nahi mungkar, yang sentiasa dekat dengan Allah, jua yang kelak akan mendoakan kesejahteraan buat diri kita di akhirat sana?
Mungkin ramai antara kalian yang mengatakan: Pasti! Pastilah kami akan mendoakan sebegitu buat anak-anak kami. Takkan lah ada ibu yang tidak mendoakan sebegitu untuk anak-anaknya.
Ini soalan seterusnya daripada saya. Apakah kalian yakin bahawa kalian akan mendoakan doa-doa yang baik buat anak-anak kalian jika kalian sendiri tidak baik? Apakah mungkin kalian mendoakan anak-anak kalian menjadi anak-anak yang soleh dan solehah jika kalian sendiri tidak solehah? Apakah bisa kalian mendidik anak-anak kalian mengenali Allah serta mendekatkan diri dengan Allah jika kalian sendiri jauh sekali dengan Allah? Apakah mungkin?
Kebarangkalian besarnya kita tidak akan mendoakan perkara-perkara ini jika kita sendiri tidak baik. Bagaimana mungkin kita mendoakan anak-anak kita menjadi orang-orang yang mendirikan solat jika kita sendiri tidak solat cukup lima waktu sehari semalam. (Iyalah, solat pun tidak, bila masa nak berdoa nya, kan?). Bagaimana mungkin kita melatih anak-anak kita menjadi orang yang memelihara maruah dan harga diri jika kita sendiri berpakaian serba seksi untuk ditatap semua orang. (Sudah pasti jika kita berpakaian dengan seksi hari ini, kelak kita ingin melihat anak-anak kita mewarisi ‘kecantikan’ diri kita). Bagaimana mungkin kita mendoakan anak-anak kita menjadi orang yang dekat dengan Allah jika kita sendiri belum tentu kenal benar dengan Allah. Bagaimana mungkin anak-anak kita mengenali Al-Quran dan beramal dengannya jika kita sendiri tidak pernah membaca Al-Quran di dalam rumah. Kan?
Jika anda faham apa yang saya katakan, saya berharap anda juga dapat lihat bahawa baik buruknya generasi anak kita kelak adalah sangat bergantung kepada siapakah kita pada hari ini. Saya yakin, sebagai seorang ibu, tidak ada siapa yang mahu melihat anaknya ‘hancur’ dalam kehidupan. Tidak ada yang mahu anaknya hidup liar tidak tentu arah. Tidak ada yang mahu anak-anak perempuannya diangkut ke hulu ke hilir oleh jantan-jantan yang tidak kita ketahui latar belakangnya dan belum tentu menjadi suami anak-anak kita. Tidak ada juga yang mahu anak-anak laki kita liar meraba anak-anak dara orang lain, mahupun liar memerhatikan perempuan-perempuan seksi di tengah jalan. Saya yakin, tidak ada jua yang mahu anak dia membesar sebagai seorang yang kuat mencarut, yang melawan cakap anda sebagai seorang ibu, yang mencuri, yang menipu dan sebagainya.
Oleh itu, saya ingin menyeru diri saya sendiri, juga kalian semua..sahabat-sahabat perempuan saya, kakak-kakak senior saya, juga adik-adik akak yang akak sayang, ayuhlah kita ubah diri kita hari ini menjadi seorang yang lebih baik. Ayuhlah kita memupuk akhlak-akhlak mulia dalam diri kita, dan mendidik diri kita dengan menjadi seorang wanita solehah. Agar kelak, kita dapat lahirkan generasi yang mantap. Yang mulia akhlaknya, yang baik budi pekertinya, yang sopan pakaiannya, yang santun ucapannya dan yang paling utama, mengenali Allah dan menghidupkan islam dalam diri mereka. Yakinlah, mereka akan mewarisi siapa kita pada hari ini. Ini bertepatan dengan sabda nabi SAW: Setiap anak yang dilahirkan itu adalah umpama kain putih (fitrah), ibu bapalah yang bertanggungjawab mewarnakan dan mencorakkannya, sama ada menjadi Yahudi, Nasrani dan Majusi . (riwayat Bukhari dan Muslim). Ke mana tumpahnya kuah andai tidak ke nasi?
Moga Allah kurniakan hidayah buatku dan buatmu serta memberi kita kekuatan untuk berubah ke arah yang lebih baik serta kekuatan untuk mujahadah dan istiqomah di atas perubahan ini.

Oleh:
Sarah Abd Rahman via Hanan Othman

1 Komen:

Spoiler Untuk lihat komentar yang masuk:
Abu Nur said...

Terima kasih atas sumbagan artikel , semuga meberi munafaat untuk semua


Post a Comment

 
Copyright © 1433H | 2012M. AIM | Membina Generasi Harapan . Hak cipta adalah terpelihara.
Laman ini dibangunkan oleh Unit Media Akademi Ikatan Muslimin