stam

stam
Home » » SEBUAH RENUNGAN UNTUK TATAPAN BERSAMA

SEBUAH RENUNGAN UNTUK TATAPAN BERSAMA

Suram tengahari itu. Bukan seperti sediakala yang cerah dan menyakitkan sinarnya. Bagaimana suram dan muramnya langit, begitulah juga galau dan kacaunya perasaan Aidil. Entah mengapa begitu, dia pun tidak mengerti. Dibiarkan sahaja perasaannya begitu. Dia faham, itulah lumrah kehidupan. Perasaan silih berganti, benci-suka, marah-tawa. Lagaknya menunggu bas sekolah untuk tiba membawanya pulang ke rumah kelihatan seperti seorang yang dewasa, walaupun umurnya baru setahun jagung di dunia ini, baru sahaja mencecah sepuluh tahun.
Sedang dia asyik menuggu bas sekolahya tiba, sebuah kereta MyVI meluncur laju dan berhenti di depannya. Dia arif benar akan kereta itu. Itu milik abangnya yang sekarang melanjutkan pengajian di Akademi Ikatan Muslimin di Ipoh, Perak. Timbul persoalan di benak kecil Aidil, ‘Kenapa abang balik ni? Bukan sepatutnya dia ada ujian ke?’ Namun soalan itu dibiarkan dahulu apabila abangnya menjemputnya masuk ke dalam kereta. Lantas, tanpa berlengah, diajukan soalan yang bermain di fikirannya sebentar tadi.
‘Ada kecemasan di rumah.’ Ringkas jawapan abangnya. Aidil dapat menafsir daripada jawapan dan riak wajah abangnya yang sugul, bahawa ada sesuatu yang tidak kena sedang berlaku. Perasaannya yang sedia galau makin bertambah gundah. Namun didiamkan sahaja perasaanya itu. Dia lebih suka mengambil sikap tunggu dan lihat, dan tidak mahu terburu-buru membuat andaian. MyVi putih itu terus laju memecut di tengah jalan raya, umpama singa ketika menerkam buruannya.
Sampai di rumah. Hening suasananya, walaupun banyak kereta yng memarkir di halaman rumah, satu perkara yang jarang berlaku di rumah Aidil. Selalunya apabila banyak tetamu yang ada, tentu riuh suasana di dalam rumah dengan gelak tawa dan tangisan anak-anak kecil. Tapi kali ini lain. Sayup-sayup kedengaran alunan ayat suci Al-Quran dibacakan. Abangnya memimpin tangannya untuk masuk ke dalam rumah. Ayahnya dan kakaknya memeluknya dengan erat sekali. Terkejut Aidil tak terkata, jarang dia diperlakukan begitu. Dari celah-celah tangan ayahnya, di dapat melihat sekujurtubuh terlantar di ruang tamu rumah, diselimuti dangan kain berwarna putih dan dikelilingi oleh orang yang Aidil kenal, iaitu jemaah suaru berhampiran rumahnya. Lantas ayahnya mengkhabarkan sebuah berita duka.. ‘Nak, ibu kamu dah meninggal.. Dia dah tiada. Dia dah pergi ke alam lain…’
Bertambah erat pelukan kakak Aidil mendengarkan penjelasan ayah seiring dengan bertambahnya esak dan tangis kakak. Aidil terdiam mendengar khabar itu. Fikirannya tambah bercelaru dan berserabut. Lantas diajukan soalan kepada ayahnya, ‘Ayah, kenapa ayah cakap ibu dah pergi? Aidil nampak ibu ada. Tengah baring dalam selimut putih tengah-tenagh jemaah tu..’
-Kisah berakhir di situ-


Saudara/ri sekalian
         Mungkin kita biasa disogokkan dengan kisah sebegini. Di televisyen, akhbar, novel dan sebagainya. Namu hari ini penulis ingin membawa kita menerawang jauh daripada kotak. Kita luaskan pmikiran kita, sesuai dengan cara Islam yang menggalakkan kita berfikir dan mengambil pengajaran daripada alam ini.
Firman Allah S.W.T-
“Sesungguhnya di dalam penciptaan langit dan bumi, dan penggantian siang dan malam itu terdapat tanda-tanda(kebesaran Allah) bagi mereka yang berakal. (berfikir) “–Ali Imran:190-
          Lumrah alam. Kuasa Allah yang mentakdirkan ada yang hidup dan mati di dunia ini. Dunia ini sebagai salah satu persinggahan kita untuk menuju alam yang abadi. Berdasarkan kisah tadi, Aidil mempersoalkan akan kematian ibunya, sedangkan jasad ibunya masih wujud di depan matanya.
         Persoalan remeh seperti ini tidak mungkin kita tidak mampu untuk jawab. Fitrah manusia, apabila ruh sudah meninggalkan jasad, dia dianggap sudah ‘meninggal dunia’ walaupun jasadnya masih wujud dan segar di hadapan mata. Kesimpulannya yang dapat kita rumuskan, hakikat manusia itu adalah pada ruhnya, bukan pada fizikal dan jasadnya semata.
       Satu muhasabah buat diri kita, bagaimanakah cara kita melayan dan memenuhi kehendak ruhi kita? Majoriti manusia umumnya tidak mengabaikan langsung kehendak jasadi seperti makan, minum, keperluan harian seperi wang, rumah kereta dan sebagainya. Namun, berapa ramai dalam kalangan manusia yang berusaha untuk memenuhi kehendak ruhi mereka?
         Hari ini dunia melihat, ramai manusia yang jauh daripada Islam, hatta orang Islam itu sendiri. Maksiat dan gejala sosial berleluasa, mengkhianati fitrah suci Islam dan ruh itu sendiri. Kita asyik sibuk menyuap fizikal, sedang ruh kita abaikan dan setiap hari ia tenat dan memerlukan rawatan segera sebelum masanya tiba.
        Makanan bagi ruh tidak perlu dibeli dengan wang atau apa-apa material. Cuma perlu kepada mujahadah dan pengorbanan. Realitinya, kita sunyi daripada makanan ruh sepeti solat berjemaah, zikir, ceramah, tazkirah dan sebagainya. Makanan-makanan ini sangat mudah untuk didapati, di masjid dan surau berhampiran.
       Kesimpulannya, peliharalah dan penuhilah kehendak ruh kita. Ketenangan yang hakiki lahir daripada kehendak ruhi yang dipenuhi. Kerana manusia itu hakikatnya pada ruh, bukannya pada jasad dan material dunia.
“Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenang dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang..” -Ar Ra’d:28-

0 Komen:

Spoiler Untuk lihat komentar yang masuk:

Post a Comment


 
Copyright © 1433H | 2012M. AIM | Membina Generasi Harapan . Hak cipta adalah terpelihara.
Laman ini dibangunkan oleh Unit Media Akademi Ikatan Muslimin