Pada 14-15 Februari 2011M bersamaan dengan 10-11 Rabiul Awal 1432H Jawatankuasa Masjid Ubudiah Kuala Kangsar dengan kerjasama Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) cawangan Perak dan NGO-NGO Islam telah menganjurkan satu program sambutan maulidur rasul yang pada tahun ini bertemakan 1 Ummah, 1 Malaysia bagi memperingati kelahiran junjungan besar kita, Muhammad S.A.W yang saban tahun dijalankan di setiap negara.
Program ini dijalankan di Masjid Ubudiah Kuala Kangsar bermula pada pukul 4 pagi, hari rabu sehingga 11.30 malam. Kami dari Akademi Ikatan Muslimin(AIM) seramai 67 orang telah turut serta dalam program kali ini .Kami bertolak pada pukul 10.15 malam dengan menaiki 2 buah bas dan tiba di sana pada pukul 11.30 malam.
Program ini dimulakan dengan berqiamullail pada pukul 4 pagi diikuti dengan kuliah subuh yang disampaikan oleh Timbalan Mufti Negeri Perak, Ustaz Zamri Bin Hashim.
 |
Suasana ketika Qiamullail |
 |
Ustaz Zamri Hashim menyampaikan kuliah subuh |
Kemudian program diteruskan dengan aktiviti sukaneka, mewarna dan futsal.Aktiviti ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada golongan remaja dan belia yang terdiri daripada penduduk setempat. Pihak Akademi Ikatan Muslimin telah menghantar 3 pasukan untuk perlawanan futsal. Salah satu pasukannya, iaitu Al-Qassam FC yang telah berjaya masuk ke final dan akhirnya berjaya dinobatkan sebagai juara.
 |
Sebahagian pelajar AIM sebelum bertolak ke gelanggang futsal |
 |
Barisan Team Al-Qassam |
Selepas asar, program diteruskan lagi dengan ceramah motivasi pelajar yang disampaikan oleh Mejar Nadzri Bin Musnman yang merupakan Pegawai Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia(KAGAT). Ceramah beliau turut dihadiri oleh Madrasah Idrisiah dan SMK Raja Perempuan .
 |
Ustaz Mejar Nadzri dalam ceramah Motivasi Remaja |
 |
Para akhawat memberikan tumpuan yang sepenuhnya dalam ceramah motivasi. |
Pada sebelah malam, sebelum memulakan forum, para jemaah Masjid Ubudiah telah disajikan dengan persembahan nasyid oleh wakil pelajar-pelajar Akademi Ikatan Muslimin yang menggelarkan kumpulan mereka sebagai Ar-Ra'du. Alunan nasyid yang dialunkan amat menyentuh jiwa para jemaah sehinggakan ada di kalangan jemaah yang menitiskan air mata kerana penghayatan yang mengasyikkan terhadap lirik nasyid yang berkisarkan kehidupan Nabi Muhammad S.A.W.
 |
Dendangan nasyid daripada kumpulan Ar-Ra'du |
Sejurus itu, forum maulidur rasul berlangsung dengan menampilkan ahli-ahli panel yang berkaliber dalam bidang dakwah seperti Ustaz Fauzi Bin Asmuni yang merupakan Timbalan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia(ISMA) dan Mejar Nadzri Bin Musnman yang berkhidmat sebagai Pegawai Kor Agama Tentera Malaysia (KAGAT) yang dipengerusikan oleh Timbalan Mufti Negeri Perak, Ustaz Zamri Bin Hashim. Forum yang diberi tajuk 'Membina Generasi Harapan' telah berjaya digarap oleh ahli-ahli panel dengan berkesan sekali.
 |
Barisan ahli panel forum "Membina Generasi Harapan" |
Program sambutan maulidur rasul kali ini melabuhkan tirainya selepas para jemaah disajikan dengan kenduri aqiqah. Kami pihak Akademi Ikatan Muslimin mengucapkan selamat menyambut sambutan maulidur rasul 1432H. Semoga sambutan ini memberi manfaat kepada kita sebagai umat Nabi Muhammad S.A.W dan mendapat syafaat baginda di akhirat kelak.
0 Komen:
Post a Comment