stam

stam
Home » , » Perutusan Ramadhan 1433H Majlis Perwakilan Pelajar

Perutusan Ramadhan 1433H Majlis Perwakilan Pelajar

 
Rasulullah s.a.w. pernah memberi khutbah kepada para sahabatnya tatkala ramadhan bakal menjelang :

" أيها الناس : قد أظلكم شهر عظيم مبارك , شهر فيه ليلة خير من ألف شهر, شهر جعل الله صيامه فريضة وقيام ليله تطوعا , من تقرب فيه بخصلة كان كمن أدى فريضة فيما سواه , ومن أدى فريضة فيه كان كمن أدى سبعين فريضة فيما سواه , وهو شهر الصبر , والصبر ثوابه الجنة , وشهر المواساة وشهر يزاد فى رزق المؤمن فيه , من فطر فيه صائما كان مغفرة لذنوبه وعتق رقبته من النار , وكان له مثل أجره من غير أن ينقص من أجره شيء


Maksudnya: “ Wahai manusia ! Kamu akan dinaungi satu bulan yang agung, yang penuh keberkatan. Bulan yang terdapat di dalamnya satu hari yang lebih baik daripada seribu bulan. Bulan yang Allah telah jadikan berpuasa di dalamnya satu fardhu dan menghidupkan malamnya sebagai amalan sunnah.

Sesiapa yang menghampirkan dirinya kepada Allah menerusi amalan sunnah, dia seperti melaksanakan satu amalan fardhu selain amalan sunnah tersebut, dan sesiapa yang menunaikan satu amalan fardhu di dalamnya (bulan Ramadhan), dia seperti menunaikan 70 amalan fardhu selain amalan fardhu tersebut. Ia adalah bulan kesabaran dan kesabaran itu ganjarannya ialah syurga. Ia juga adalah bulan memberi pertolongan dan bantuan.

Ia bulan di mana rezeki orang-orang yang beriman bertambah. Sesiapa yang menyediakan makanan kepada seseorang yang berbuka puasa , tindakan itu akan mengampuni dosa-dosanya dan membebaskan dirinya daripada api neraka, bagi dirinya ganjaran seumpama pahala orang yang berpuasa tersebut tanpa sebarang pengurangan..."

Alhamdulillah, segala pujian bagi Allah tuhan yang telah menyempurnakan agamaNya, melengkapkan nikmatNya, meredhai Islam sebagai cara hidup dan memberi kita petunjuk untuk melaksanakannya. Allahumma amankanlah dan sejahteralah bagi junjungan mulia Muhammad Rasulullah serta ahli keluarga baginda, para sahabatnya dan mereka yang mengikuti jejak langkahnya sehingga akhir zaman.

Alhamdulillah pada tahun ini kita diberi peluang dan kesempatan lagi oleh Allah s.w.t untuk menghadapi dan menyambut bulan yang mulia, bulan Ramadhan.

Peluang adalah perkara yang sering kita mengalami dalam hidup kita, padanya terdapat pilihan untuk berkorban atau terkorban, dan kita akan mengakhiri peluang itu dengan kepuasan atau kekesalan, kerana peluang itu datang dan pergi dengan ketetapan, bukannya atas kuasa pilihan kita.

Hari ini Allah telah memberi kita lagi satu peluang dan cabaran, samada kita berjaya merampasnya atau kita yang tertinggal.

Iaitu peluang merebut ganjaran dan pahala yang dilipatgandakan, yang ganjarannya tidak sesuai langsung dibandingkan dengan amalan dan pengorbanannya, ibarat membeli sebuah kereta BMW dengan harga puluhan Ringgit Malaysia sahaja!

Ramadhan adalah bulan yang Allah sediakan bagi para hambanya dikalangan ummat Muhammad s.a.w untuk melatih dan mentarbiah diri mereka, memantapkan iman mereka, mengukuhkan kedudukan mereka dan membuka jalan-jalan kemenangan bagi mereka. Pada bulan inilah Allah telah memenangkan dan memuliakan ahli Badar, meninggikan kedudukan orang Islam dalam peperangan Ain Jalut dan sebagainya.

Ramadhan adalah madrasah tarbiah daripada Allah, telah lengkap objektif dan silibusnya digariskan sendiri oleh Allah untuk mentarbiah seluruh ummat Islam. Bulan ini akan melahirkan individu yang bertaqwa, masyarakat yang prihatin dan negara yang maju dan bertamadun. Sepertimana yang diterangkan di dalam al-quran, manusia itu dimuliakan dengan adanya taqwa dalam dirinya, dan itulah objektif yang harus dicapai oleh setiap individu muslim.

Maka dengan itu, Allah telah mensyariatkan kewajipan berpuasa sepanjang bulan Ramadhan, dengan inilah Allah menguji para hambaNya agar terus bersabar, mendidik supaya menahan diri dari melanggar larangan-laranganNya dengan menahan diri dari makan, minum, mencampuri isteri, berkata kesat dan sebagainya. Siapakah yang akan menghalang kita dari makan dan minum disebalik tabir atau ditempat yang tersorok selain ketaqwaan kita kepada Allah? Kalau perkara harus pun kita berjaya tahan diri kita dari melakukannya sepanjang bulan ramdhan, tentu perkara haram tidak menjadi masalah untuk kita menghindarinya!

Selain dituntut untuk memperbanyakkan ibadah, memanjangkan solat malam, membiasakan zikir, tilawah al-quran, mengimarahkan masjid dan menyemai sifat mahmudah dan membuang sifat mazmumah, dengan memperbanyak sedeqah dan memberi hadiah, saling menasihati dan tolong menolong., bulan ini juga Allah mengajar kita menguruskan kehidupan dengan jadual masa seharian yang kemas dan teliti. Bulan ini juga bulan motivasi.

Cuba bayangkan, pada hari atau bulan bulan lain, bolehkah kita menjalankan tugas kita seperti biasa, bersemangat, jika kita terlepas sarapan atau makan tengahari? Secara umumnya, tentu kita akan sedikit mengomel kalau kita terlepas jadual makan pada hari biasa dan produktiviti pasti akan menurun. Tetapi, dengan mengisi perut sebanyak 2 kali sahaja di bulan ramadhan, sepatutnya kita tetap dapat menjalankan kerja seperti biasa, itu tentu melatih dan memerlukan motivasi yang tinggi.
.
Barangkali sesetengah orang jemu mendengar kelebihan Ramadhan diulang-ulang, tentu kerana tiada usaha untuk mengejar dan mendapatkannya. Sesungguhnya hidayah dan taufiq itu adalah milik Allah semata-mata, seharusnya kita berusaha mendapatkannya dengan memperbanyakkan doa dan mempamerkan kesungguhan kita kepada Allah tentang keinginan kita terhadap petunjukNya.

Dengan kelebihan yang Allah limpahkan pada bulan Ramadhan ini, hendaklah kita mengubah diri dan memperbanyakkan amal. Masa inilah masa yang paling mulia. Masa inilah masa yang paling berharga. Masa inilah masa untuk kita mentarbiah diri kita. Masa inilah masa untuk menjadi muslim yang lebih baik, dan lebih hampir kepada Allah.

Kalau bukan ramadhan, bila lagi?

Kemuliaan ini tidak dijumpai di bulan yang lain. Kemeriahan beramalnya tak mungkin ditandingi dengan hari hari yang lain. Kalau bukan ramadhan, maka bila agaknya kita mampu berubah? Logiknya, mustahil kita berjaya di bulan lain jika kita gagal melakukannya di bulan ramadhan!

Akhir sekali, seluruh Ahli Majlis Perwakilan Pelajar, Akademi Ikatan Muslimin mengucapkan selamat menyambut Ramadhan dan selamat mentarbiah diri. Semoga ramadhan kali ini lebih baik daripada ramadhan pada tahun tahun yang lalu, dan semoga Allah mendengar doa kita dan memperkenankannya, dan menerima amalan kita dan memasukkan kita di kalangan hambaNya yang ikhlas. RAMADHAN KAREEM.

 Wassalam.



Zaid Bin Zainurrashid
Ahli Majlis Perwakilan Pelajar,
Ketua Biro Dakwah dan Rohani,
Akademi Ikatan Muslimin

0 Komen:

Spoiler Untuk lihat komentar yang masuk:

Post a Comment


 
Copyright © 1433H | 2012M. AIM | Membina Generasi Harapan . Hak cipta adalah terpelihara.
Laman ini dibangunkan oleh Unit Media Akademi Ikatan Muslimin