stam

stam
Home » , » PENGISIAN MASA DI MUSIM CUTI PERSEKOLAHAN

PENGISIAN MASA DI MUSIM CUTI PERSEKOLAHAN


Cuti sekolah memang sesuatu yang ditunggu-tunggu bukan sahaja murid-murid atau penuntut-penuntut malahan juga ibu bapa sendiri.
Tidak dinafikan pada masa ini sebahagian ibu bapa sudah mempunyai beberapa perancangan dan aktiviti untuk memenuhi masa lapang anak-anak pada musim cuti persekolahan ini. Sudah sewajarnya kita mengisi masa tersebut dengan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat supaya masa itu tidak berlalu dengan sia-sia. Kalau di musim persekolahan sudah tentu ramai anak-anak yang sibuk dengan pelajaran mereka, sibuk menghadiri kelas-kelas tambahan dan sebagainya terutama kepada mereka yang hendak menghadapi peperiksaan bersijil, maka dengan meluangkan masa bersama anak-anak di musim cuti inilah merupakan kesempatan yang baik untuk bermesra dengan anak-anak serta mengeratkan lagi hubungan dalam keluarga.
Sebenarnya pengawalan dan pemerhatian dari ibu bapa adalah amat penting. Jangan dibiarkan anak-anak menghabiskan masa dengan perkara yang tidak berfaedah yang mana merugikan masa. Terdapat bermacam-macam aktiviti yang boleh dirancang dan dilaksanakan seperti melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti di perpustakaan, aktiviti-aktivit masjid, melakukan riadah ataupun meluangkan masa melawat tempat-tempat bersejarah atau tempat menarik yang terdapat di negara kita ini. Dengan pengisian masa yang terancang dan pengisian aktiviti berfaedah akan memberikan kebaikan yang banyak kepada kita seperti dapat menambah ilmu pengetahuan, merapatkan hubungan kekeluargaan serta sekali gus dapat membimbing mereka menjadi manusia yang pandai menghargai masa.
Sesungguhnya pengisian masa dengan perkara yang berfaedah merupakan tuntutan agama kerana Islam menggalakkan umatnya supaya mengurus masa dengan sebaik-baiknya dan penuh bijaksana, bukan membuang masa dengan melakukan sebarang pekerjaan yang tidak berfaedah dan sia-sia.
Ketahuilah bahawa orang-orang yang pandai dan bijak mengurus dan menggunakan masanya dengan berbuat amal yang baik dengan melakukan perkara yang berfaedah maka mereka itu adalah orang yang beruntung dan berjaya dalam kehidupan. Sebaliknya siapa yang lalai dan membuag masa, membiarkannya berlalu begitu sahaja dengan melakukan perkara-perkara yang sia-sia seperti berpeleseran di pusat-pusat membeli-belah, melepak, bermalas-malas atau melakukan perkara yang berdosa seperti mengumpat, memfitnah dan sebagainya, maka mereka itulah orang-orang yang rugi. Kerana itu kita hendaklah sentiasa ingat supaya memanfaatkan masa yang ada dengan sebaik-baiknya untuk masa hadapan dan bekalan menuju akhirat nanti, lebih-lebih lagi di akhirat nanti kita semua akan ditanya adakah kita telah menggunakan masa dengan sebaik-baiknya. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW, maksudnya:
“Dari Abi Barzah Al-Aslami ia berkata, Sabda Rasulullah SAW: Tidak akan bergerak kedua-dua kaki seorang hamba itu pada hari kiamat di padang mahsyar sehingga ia disoal tentang umurnya bagaimana ianya dihabiskan, tentang amalnya apa yang dilakukan dengannya, tentang hartanya dari mana ianya diperolehi dan untuk apa ianya dibelanjakan dan tentang tubuh badannya bagaimana ia menggunakannya”. (Riwayat Al-Imam At-Tirmizi)
Masa itu sangat berharga, lebih berharga dari segala harta yang ada di muka bumi kerana masa yang berlalu tidak akan kembali tetapi harta yang hilang boleh dicari ganti. Oleh itu hargailah masa dan manfaatkanlah dengan melakukan amal soleh serta taat kepada Allah SWT, mudah-mudahan dengan demikian, kita akan mendapat berkat dari Allah SWT.
Firman Allah SWT dalam Surah Al ‘Ashr ayat 1-3 tafsirnya:

“Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran”.

Oleh : Siti Hajar Anuar

0 Komen:

Spoiler Untuk lihat komentar yang masuk:

Post a Comment


 
Copyright © 1433H | 2012M. AIM | Membina Generasi Harapan . Hak cipta adalah terpelihara.
Laman ini dibangunkan oleh Unit Media Akademi Ikatan Muslimin