Rasulullah s.a.w. pernah memberi khutbah kepada para sahabatnya tatkala ramadhan bakal menjelang :
"
أيها الناس : قد أظلكم شهر عظيم مبارك , شهر فيه ليلة خير من ألف شهر, شهر
جعل الله صيامه فريضة وقيام ليله تطوعا , من تقرب فيه بخصلة كان كمن أدى
فريضة فيما سواه , ومن أدى فريضة فيه كان كمن أدى سبعين فريضة فيما سواه ,
وهو شهر الصبر , والصبر ثوابه الجنة , وشهر المواساة وشهر يزاد فى رزق
المؤمن فيه , من فطر فيه صائما كان مغفرة لذنوبه وعتق رقبته من النار ,
وكان له مثل أجره من غير أن ينقص من أجره شيء
Maksudnya: “
Wahai manusia ! Kamu akan dinaungi satu bulan yang agung, yang penuh
keberkatan. Bulan yang terdapat di dalamnya satu hari yang lebih baik
daripada seribu bulan. Bulan yang Allah telah jadikan berpuasa di
dalamnya satu fardhu dan menghidupkan malamnya sebagai amalan sunnah.
Sesiapa
yang menghampirkan dirinya kepada Allah menerusi amalan sunnah, dia
seperti melaksanakan satu amalan fardhu selain amalan sunnah tersebut,
dan sesiapa yang menunaikan satu amalan fardhu di dalamnya (bulan
Ramadhan), dia seperti menunaikan 70 amalan fardhu selain amalan fardhu
tersebut. Ia adalah bulan kesabaran dan kesabaran itu ganjarannya ialah
syurga. Ia juga adalah bulan memberi pertolongan dan bantuan.
Ia
bulan di mana rezeki orang-orang yang beriman bertambah. Sesiapa yang
menyediakan makanan kepada seseorang yang berbuka puasa , tindakan itu
akan mengampuni dosa-dosanya dan membebaskan dirinya daripada api
neraka, bagi dirinya ganjaran seumpama pahala orang yang berpuasa
tersebut tanpa sebarang pengurangan..."
Alhamdulillah, segala
pujian bagi Allah tuhan yang telah menyempurnakan agamaNya, melengkapkan
nikmatNya, meredhai Islam sebagai cara hidup dan memberi kita petunjuk
untuk melaksanakannya. Allahumma amankanlah dan sejahteralah bagi
junjungan mulia Muhammad Rasulullah serta ahli keluarga baginda, para
sahabatnya dan mereka yang mengikuti jejak langkahnya sehingga akhir
zaman.
Alhamdulillah pada tahun ini kita diberi peluang dan
kesempatan lagi oleh Allah s.w.t untuk menghadapi dan menyambut bulan
yang mulia, bulan Ramadhan.
Peluang adalah perkara yang sering
kita mengalami dalam hidup kita, padanya terdapat pilihan untuk
berkorban atau terkorban, dan kita akan mengakhiri peluang itu dengan
kepuasan atau kekesalan, kerana peluang itu datang dan pergi dengan
ketetapan, bukannya atas kuasa pilihan kita.
Hari ini Allah telah memberi kita lagi satu peluang dan cabaran, samada kita berjaya merampasnya atau kita yang tertinggal.
Iaitu
peluang merebut ganjaran dan pahala yang dilipatgandakan, yang
ganjarannya tidak sesuai langsung dibandingkan dengan amalan dan
pengorbanannya, ibarat membeli sebuah kereta BMW dengan harga puluhan
Ringgit Malaysia sahaja!
Ramadhan adalah bulan yang Allah
sediakan bagi para hambanya dikalangan ummat Muhammad s.a.w untuk
melatih dan mentarbiah diri mereka, memantapkan iman mereka, mengukuhkan
kedudukan mereka dan membuka jalan-jalan kemenangan bagi mereka. Pada
bulan inilah Allah telah memenangkan dan memuliakan ahli Badar,
meninggikan kedudukan orang Islam dalam peperangan Ain Jalut dan
sebagainya.
Ramadhan adalah madrasah tarbiah daripada Allah,
telah lengkap objektif dan silibusnya digariskan sendiri oleh Allah
untuk mentarbiah seluruh ummat Islam. Bulan ini akan melahirkan individu
yang bertaqwa, masyarakat yang prihatin dan negara yang maju dan
bertamadun. Sepertimana yang diterangkan di dalam al-quran, manusia itu
dimuliakan dengan adanya taqwa dalam dirinya, dan itulah objektif yang
harus dicapai oleh setiap individu muslim.
Maka dengan itu, Allah telah
mensyariatkan kewajipan berpuasa sepanjang bulan Ramadhan, dengan inilah
Allah menguji para hambaNya agar terus bersabar, mendidik supaya
menahan diri dari melanggar larangan-laranganNya dengan menahan diri
dari makan, minum, mencampuri isteri, berkata kesat dan sebagainya.
Siapakah yang akan menghalang kita dari makan dan minum disebalik tabir
atau ditempat yang tersorok selain ketaqwaan kita kepada Allah? Kalau
perkara harus pun kita berjaya tahan diri kita dari melakukannya
sepanjang bulan ramdhan, tentu perkara haram tidak menjadi masalah untuk
kita menghindarinya!
Selain dituntut untuk memperbanyakkan ibadah, memanjangkan
solat malam, membiasakan zikir, tilawah al-quran, mengimarahkan masjid
dan menyemai sifat mahmudah dan membuang sifat mazmumah, dengan
memperbanyak sedeqah dan memberi hadiah, saling menasihati dan tolong
menolong., bulan ini juga Allah mengajar kita menguruskan kehidupan
dengan jadual masa seharian yang kemas dan teliti. Bulan ini juga bulan
motivasi.
Cuba bayangkan, pada hari atau bulan bulan lain, bolehkah kita
menjalankan tugas kita seperti biasa, bersemangat, jika kita terlepas
sarapan atau makan tengahari? Secara umumnya, tentu kita akan sedikit
mengomel kalau kita terlepas jadual makan pada hari biasa dan
produktiviti pasti akan menurun. Tetapi, dengan mengisi perut sebanyak 2
kali sahaja di bulan ramadhan, sepatutnya kita tetap dapat menjalankan kerja
seperti biasa, itu tentu melatih dan memerlukan motivasi yang tinggi.
.
Barangkali sesetengah orang jemu
mendengar kelebihan Ramadhan diulang-ulang, tentu kerana tiada usaha untuk
mengejar dan mendapatkannya. Sesungguhnya hidayah dan taufiq itu adalah
milik Allah semata-mata, seharusnya kita berusaha mendapatkannya dengan
memperbanyakkan doa dan mempamerkan kesungguhan kita kepada Allah
tentang keinginan kita terhadap petunjukNya.
Dengan kelebihan yang Allah
limpahkan pada bulan Ramadhan ini, hendaklah kita mengubah diri dan
memperbanyakkan amal. Masa inilah masa yang paling mulia. Masa inilah
masa yang paling berharga. Masa inilah masa untuk kita mentarbiah diri
kita. Masa inilah masa untuk menjadi muslim yang lebih baik, dan lebih
hampir kepada Allah.
Kalau bukan ramadhan, bila lagi?
Kemuliaan
ini tidak dijumpai di bulan yang lain. Kemeriahan beramalnya tak
mungkin ditandingi dengan hari hari yang lain. Kalau bukan ramadhan,
maka bila agaknya kita mampu berubah? Logiknya, mustahil kita berjaya di
bulan lain jika kita gagal melakukannya di bulan ramadhan!
Akhir
sekali, seluruh Ahli Majlis Perwakilan Pelajar, Akademi Ikatan Muslimin mengucapkan selamat menyambut Ramadhan dan selamat mentarbiah diri. Semoga
ramadhan kali ini lebih baik daripada ramadhan pada tahun tahun yang
lalu, dan semoga Allah mendengar doa kita dan memperkenankannya, dan
menerima amalan kita dan memasukkan kita di kalangan hambaNya yang
ikhlas. RAMADHAN KAREEM.
Wassalam.
Zaid Bin Zainurrashid
Ahli Majlis Perwakilan Pelajar,
Ketua Biro Dakwah dan Rohani,
Akademi Ikatan Muslimin
Perutusan Ramadhan 1433H Majlis Perwakilan Pelajar
Related posts:
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 Komen:
Post a Comment