ARTIKEL :
BERKAT INGAT PESANAN BAPA
SUMBER : HARIAN
METRO 12 MAC 2014/RABU
*Penerima Anugerah Pelajar Cemerlang STAM 2013 sentiasa
bertanya guru untuk fahami setiap subjek.
“Saya minat dengan setiap subjek
yang dipelajari dan apabila berada di dalam kelas, saya beri tumpuan bagi
memastikan saya tidak tercicir dengan tip yang sentiasa diselitkan guru ketika
mengajar,” kata Siti Fatimah Mohamed Azahari, 17, penerima Anugerah Pelajar
Cemerlang Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2013 Peringkat
Kebangsaan, semalam.
Siti Fatimah yang juga Pelajar
Sekolah Menengah Agama (SMA) Kuliah Al-Lungah Waddin As-Sultan Abu Bakar
Pahang, Pekan, Pahang mencapai Gred Mumtaz (Cemerlang) dalam 10 mata pelajaran
yang diduduki, sekali gus menobatkannya sebagai seorang daripada 34 penerima
anugerah.
Menurutnya, selain mengulang
kaji pelajaran berterusan demi memastikan hasratnya memperoleh keputusan
cemerlang dalam STAM berhasil dia juga mengamalkan banyak solat sunat, selain
kerap berpuasa dan menghafaz ayat suci Al-Quran.
“Amalan itu sering menjadi rutin
dengan rakan serta memperuntukkan sekurang-kurangnya dua hingga tiga jam setiap
hari bagi mengulang kaji pelajaran bersama.
“Saya selalu ingat pesan bapa
supaya sentiasa bertanya kepada guru atau rakan sekiranya tidak memahami subjek
bagi mengelak ketinggalan,” katanya.
Sementara itu, Keua Pengarah
Pelajaran Malaysia Datuk Dr Khair Mohamad Yusof berkata, STAM juga boleh
mendapat pengiktirafan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) setaraf dengan Sijil
Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Katanya, lulusan STAM boleh
berkhidmat dengan Kerajaan Persekutuan dengan tangga gaji yang ditetapkan
sebagaimana lulusan STPM.
“Kementerian Pendidikan Malaysia
(KPM) beriltizam menyediakan pendidikan agama berkualiti tinggi bagi
melengkapkan pelajar dengan ilmu dan kemahiran yang relevan untuk berjaya dalam
pasaran kerja berasaskan nilai dan tasawur Islam yang kukuh,” katanya.
Oleh : Nurzafirah Alimuddin
Oleh : Nurzafirah Alimuddin
0 Komen:
Post a Comment