stam

stam
Showing posts with label tarbiyyah. Show all posts
Showing posts with label tarbiyyah. Show all posts

PENGISIAN MASA DI MUSIM CUTI PERSEKOLAHAN


Cuti sekolah memang sesuatu yang ditunggu-tunggu bukan sahaja murid-murid atau penuntut-penuntut malahan juga ibu bapa sendiri.
Tidak dinafikan pada masa ini sebahagian ibu bapa sudah mempunyai beberapa perancangan dan aktiviti untuk memenuhi masa lapang anak-anak pada musim cuti persekolahan ini. Sudah sewajarnya kita mengisi masa tersebut dengan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat supaya masa itu tidak berlalu dengan sia-sia. Kalau di musim persekolahan sudah tentu ramai anak-anak yang sibuk dengan pelajaran mereka, sibuk menghadiri kelas-kelas tambahan dan sebagainya terutama kepada mereka yang hendak menghadapi peperiksaan bersijil, maka dengan meluangkan masa bersama anak-anak di musim cuti inilah merupakan kesempatan yang baik untuk bermesra dengan anak-anak serta mengeratkan lagi hubungan dalam keluarga.
Sebenarnya pengawalan dan pemerhatian dari ibu bapa adalah amat penting. Jangan dibiarkan anak-anak menghabiskan masa dengan perkara yang tidak berfaedah yang mana merugikan masa. Terdapat bermacam-macam aktiviti yang boleh dirancang dan dilaksanakan seperti melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti di perpustakaan, aktiviti-aktivit masjid, melakukan riadah ataupun meluangkan masa melawat tempat-tempat bersejarah atau tempat menarik yang terdapat di negara kita ini. Dengan pengisian masa yang terancang dan pengisian aktiviti berfaedah akan memberikan kebaikan yang banyak kepada kita seperti dapat menambah ilmu pengetahuan, merapatkan hubungan kekeluargaan serta sekali gus dapat membimbing mereka menjadi manusia yang pandai menghargai masa.
Sesungguhnya pengisian masa dengan perkara yang berfaedah merupakan tuntutan agama kerana Islam menggalakkan umatnya supaya mengurus masa dengan sebaik-baiknya dan penuh bijaksana, bukan membuang masa dengan melakukan sebarang pekerjaan yang tidak berfaedah dan sia-sia.
Ketahuilah bahawa orang-orang yang pandai dan bijak mengurus dan menggunakan masanya dengan berbuat amal yang baik dengan melakukan perkara yang berfaedah maka mereka itu adalah orang yang beruntung dan berjaya dalam kehidupan. Sebaliknya siapa yang lalai dan membuag masa, membiarkannya berlalu begitu sahaja dengan melakukan perkara-perkara yang sia-sia seperti berpeleseran di pusat-pusat membeli-belah, melepak, bermalas-malas atau melakukan perkara yang berdosa seperti mengumpat, memfitnah dan sebagainya, maka mereka itulah orang-orang yang rugi. Kerana itu kita hendaklah sentiasa ingat supaya memanfaatkan masa yang ada dengan sebaik-baiknya untuk masa hadapan dan bekalan menuju akhirat nanti, lebih-lebih lagi di akhirat nanti kita semua akan ditanya adakah kita telah menggunakan masa dengan sebaik-baiknya. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW, maksudnya:
“Dari Abi Barzah Al-Aslami ia berkata, Sabda Rasulullah SAW: Tidak akan bergerak kedua-dua kaki seorang hamba itu pada hari kiamat di padang mahsyar sehingga ia disoal tentang umurnya bagaimana ianya dihabiskan, tentang amalnya apa yang dilakukan dengannya, tentang hartanya dari mana ianya diperolehi dan untuk apa ianya dibelanjakan dan tentang tubuh badannya bagaimana ia menggunakannya”. (Riwayat Al-Imam At-Tirmizi)
Masa itu sangat berharga, lebih berharga dari segala harta yang ada di muka bumi kerana masa yang berlalu tidak akan kembali tetapi harta yang hilang boleh dicari ganti. Oleh itu hargailah masa dan manfaatkanlah dengan melakukan amal soleh serta taat kepada Allah SWT, mudah-mudahan dengan demikian, kita akan mendapat berkat dari Allah SWT.
Firman Allah SWT dalam Surah Al ‘Ashr ayat 1-3 tafsirnya:

“Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran”.

Oleh : Siti Hajar Anuar
Read More | Komen

ARTIKEL : BERKAT INGAT PESANAN BAPA
SUMBER : HARIAN METRO 12 MAC 2014/RABU
*Penerima Anugerah Pelajar Cemerlang STAM 2013 sentiasa bertanya guru untuk fahami setiap subjek.
*FAKTA : Fokus dalam kelas elak tercicir tip diajar guru.
                “Saya minat dengan setiap subjek yang dipelajari dan apabila berada di dalam kelas, saya beri tumpuan bagi memastikan saya tidak tercicir dengan tip yang sentiasa diselitkan guru ketika mengajar,” kata Siti Fatimah Mohamed Azahari, 17, penerima Anugerah Pelajar Cemerlang Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2013 Peringkat Kebangsaan, semalam.
                Siti Fatimah yang juga Pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Kuliah Al-Lungah Waddin As-Sultan Abu Bakar Pahang, Pekan, Pahang mencapai Gred Mumtaz (Cemerlang) dalam 10 mata pelajaran yang diduduki, sekali gus menobatkannya sebagai seorang daripada 34 penerima anugerah.
                Menurutnya, selain mengulang kaji pelajaran berterusan demi memastikan hasratnya memperoleh keputusan cemerlang dalam STAM berhasil dia juga mengamalkan banyak solat sunat, selain kerap berpuasa dan menghafaz ayat suci Al-Quran.
                “Amalan itu sering menjadi rutin dengan rakan serta memperuntukkan sekurang-kurangnya dua hingga tiga jam setiap hari bagi mengulang kaji pelajaran bersama.
                “Saya selalu ingat pesan bapa supaya sentiasa bertanya kepada guru atau rakan sekiranya tidak memahami subjek bagi mengelak ketinggalan,” katanya.
                Sementara itu, Keua Pengarah Pelajaran Malaysia Datuk Dr Khair Mohamad Yusof berkata, STAM juga boleh mendapat pengiktirafan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) setaraf dengan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
                Katanya, lulusan STAM boleh berkhidmat dengan Kerajaan Persekutuan dengan tangga gaji yang ditetapkan sebagaimana lulusan STPM.

                “Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) beriltizam menyediakan pendidikan agama berkualiti tinggi bagi melengkapkan pelajar dengan ilmu dan kemahiran yang relevan untuk berjaya dalam pasaran kerja berasaskan nilai dan tasawur Islam yang kukuh,” katanya. 

Oleh : Nurzafirah Alimuddin
Read More | Komen

WANITA MUSLIMAH TERAS KEBANGKITAN UMMAH





Anda pernah tonton siri Ini Kisahku di TV9? Jika belum, saya syorkan anda tonton dahulu video-video ini sebelum sambung membaca apa yang hendak saya sampaikan.
Sudah saksikan? Dapat tak lihat persamaan antara ketiga-tiga video ini? Mungkin ada banyak persamaan yang anda dapat lihat, tetapi saya ingin sentuh tentang satu persamaan ini.
Jika anda lihat, mereka bertiga bertemu hidayah untuk berubah menjadi hamba yang mengenali Allah serta taat kepada Allah dengan cara yang amat berbeza. Seorang mendapat hidayah pabila menjejakkan kaki ke Mekah. Seorang mendapat hidayah melalui seorang kawan dan hobi ‘jalan-jalan cari masjid’. Seorang lagi mendapat hidayah apabila ditimpa suatu kemalangan yang dasyat yang hampir-hampir melumpuhkan kakinya dan menyebabkan dia tidak boleh melahirkan zuriat. Walau mereka semua mendapat hidayah melalui pelbagai cara yag berbeza, namun kita dapat lihat, bahawa ibu mereka turut sama mendoakan moga anak mereka mendapat hidayah. Iya, dalam ketiga-tiga kisah ini, ibu setiap satu daripada mereka sering menasihatkan agar mereka tetap mendirikan solat, juga tidak pernah berhenti mendoakan agar anak-anak mereka mendapat hidayah.



Peranan doa seorang ibu itu memainkan peranan yang penting dalam penghijrahan mereka mencari Allah. Dan saya pasti anda tahu kenapa ia penting. Tidak lain tidak bukan, kerana doa seorang ibu itu sangat mustajab. Bukan saya mengatakan bahawa seorang itu tidak akan dapat mendapat hidayah jika ibunya tidak mendoakan mereka; namun melihat kepada video-video diatas, saya pasti bahawa kerana doa ibu-ibu mereka lah perjalanan mereka mendekati Allah menjadi lebih mudah. Ya, mereka amat bertuah kerana mempunyai seorang ibu yang mendoakan agar mereka bertemu hidayah Allah setelah menyusuri zaman jahiliah.
Kepada sahabat-sahabat perempuan saya, senior-senior perempuan saya, juga adik-adik akak yang akak sayang, ingatlah, suatu hari nanti kita akan menjadi seorang ibu. Kita akan punyai anak-anak kita sendiri. Lantas, hebat atau buruk nya generasi anak-anak kita terletak di bahu kita. Kerana kitalah yang akan mendidik anak-anak kita, dan kita jua lah yang memegang doa sakti yang sangat berkesan ke atas anak-anak kita. Adakah kelak kita akan menjadi seorang ibu yang mendoakan kebaikan anak-anak kita? Adakah kelak kita akan menjadi seorang ibu yang mendoakan agar anak-anak kita menjadi anak-anak yang soleh solehah, yang mendirikan solat, yang mengeluarkan zakat, yang melakukan amar makruf dan nahi mungkar, yang sentiasa dekat dengan Allah, jua yang kelak akan mendoakan kesejahteraan buat diri kita di akhirat sana?
Mungkin ramai antara kalian yang mengatakan: Pasti! Pastilah kami akan mendoakan sebegitu buat anak-anak kami. Takkan lah ada ibu yang tidak mendoakan sebegitu untuk anak-anaknya.
Ini soalan seterusnya daripada saya. Apakah kalian yakin bahawa kalian akan mendoakan doa-doa yang baik buat anak-anak kalian jika kalian sendiri tidak baik? Apakah mungkin kalian mendoakan anak-anak kalian menjadi anak-anak yang soleh dan solehah jika kalian sendiri tidak solehah? Apakah bisa kalian mendidik anak-anak kalian mengenali Allah serta mendekatkan diri dengan Allah jika kalian sendiri jauh sekali dengan Allah? Apakah mungkin?
Kebarangkalian besarnya kita tidak akan mendoakan perkara-perkara ini jika kita sendiri tidak baik. Bagaimana mungkin kita mendoakan anak-anak kita menjadi orang-orang yang mendirikan solat jika kita sendiri tidak solat cukup lima waktu sehari semalam. (Iyalah, solat pun tidak, bila masa nak berdoa nya, kan?). Bagaimana mungkin kita melatih anak-anak kita menjadi orang yang memelihara maruah dan harga diri jika kita sendiri berpakaian serba seksi untuk ditatap semua orang. (Sudah pasti jika kita berpakaian dengan seksi hari ini, kelak kita ingin melihat anak-anak kita mewarisi ‘kecantikan’ diri kita). Bagaimana mungkin kita mendoakan anak-anak kita menjadi orang yang dekat dengan Allah jika kita sendiri belum tentu kenal benar dengan Allah. Bagaimana mungkin anak-anak kita mengenali Al-Quran dan beramal dengannya jika kita sendiri tidak pernah membaca Al-Quran di dalam rumah. Kan?
Jika anda faham apa yang saya katakan, saya berharap anda juga dapat lihat bahawa baik buruknya generasi anak kita kelak adalah sangat bergantung kepada siapakah kita pada hari ini. Saya yakin, sebagai seorang ibu, tidak ada siapa yang mahu melihat anaknya ‘hancur’ dalam kehidupan. Tidak ada yang mahu anaknya hidup liar tidak tentu arah. Tidak ada yang mahu anak-anak perempuannya diangkut ke hulu ke hilir oleh jantan-jantan yang tidak kita ketahui latar belakangnya dan belum tentu menjadi suami anak-anak kita. Tidak ada juga yang mahu anak-anak laki kita liar meraba anak-anak dara orang lain, mahupun liar memerhatikan perempuan-perempuan seksi di tengah jalan. Saya yakin, tidak ada jua yang mahu anak dia membesar sebagai seorang yang kuat mencarut, yang melawan cakap anda sebagai seorang ibu, yang mencuri, yang menipu dan sebagainya.
Oleh itu, saya ingin menyeru diri saya sendiri, juga kalian semua..sahabat-sahabat perempuan saya, kakak-kakak senior saya, juga adik-adik akak yang akak sayang, ayuhlah kita ubah diri kita hari ini menjadi seorang yang lebih baik. Ayuhlah kita memupuk akhlak-akhlak mulia dalam diri kita, dan mendidik diri kita dengan menjadi seorang wanita solehah. Agar kelak, kita dapat lahirkan generasi yang mantap. Yang mulia akhlaknya, yang baik budi pekertinya, yang sopan pakaiannya, yang santun ucapannya dan yang paling utama, mengenali Allah dan menghidupkan islam dalam diri mereka. Yakinlah, mereka akan mewarisi siapa kita pada hari ini. Ini bertepatan dengan sabda nabi SAW: Setiap anak yang dilahirkan itu adalah umpama kain putih (fitrah), ibu bapalah yang bertanggungjawab mewarnakan dan mencorakkannya, sama ada menjadi Yahudi, Nasrani dan Majusi . (riwayat Bukhari dan Muslim). Ke mana tumpahnya kuah andai tidak ke nasi?
Moga Allah kurniakan hidayah buatku dan buatmu serta memberi kita kekuatan untuk berubah ke arah yang lebih baik serta kekuatan untuk mujahadah dan istiqomah di atas perubahan ini.

Oleh:
Sarah Abd Rahman via Hanan Othman
Read More | Komen (1)

Hanya gerhana, belum terbenam matahari

Dengan nama Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang

  3/3/1924. Tarikh yang amat gelap bagi setiap insan yang bergelar muslim, sebuah organisasi atau sistem pemerintahan islam yang telah wujud lebih daripada 1300 tahun dimansuhkan begitu sahaja. Tanpa sebarang peperangan atau penghapusan mana-mana tamadun islam sistem ini terkubur begitu sahaja hasil daripada tipu daya pihak kuffar dan syaitan. Sistem inilah yang pernah berdiri megah menaungi umat islam dahulu, sistem inilah yang melindungi setiap insan yang mengucap kalimah syahadah dan sistem ini juga adalah sunnah daripada para sahabat yang diredhai Allah. Sistem yang sudah hilang ini yang satu ketika dahulu pernah dibangga-banggakan oleh muslim dikenali sebagai sistem khilafah.

(Gambar Khalifah diusir dari istananya)

90 TAHUN KEMUDIAN

  Setelah berlalu satu tempoh yang panjang, umat islam mula dibuai oleh mimpi yang indah. Terperangkap dalam tipu daya dunia yang fana. Mereka mula melupai bahawa satu ketika dahulu kita mempunyai empayar yang pernah menawan 2/3 dunia, kita pernah berdiri sebagai empayar yang disegani rakan dan ditakuti musuh, empayar yang berdiri tanpa bantuan orang lain dan sebuah empayar yang menjadi rujukan dunia. Kini kita melihat negara barat seolah-olah merekalah segala-galanya. Dengan kemajuan mereka dan kewangan mereka yang seolah-olah kelihatan tidak terhad. Kita berasa takjub kepada mereka walhal satu ketika dahulu kita lebih hebat berbanding mereka.

  Kini kita hidup tanpa bayangan khilafah, umat islam mula diserang sana sini. Tanpa sesiapa yang membela nasib umat tercinta ini. Kaum Rohingnya di Myanmar dibunuh dengan penuh kejam, kaum Palestin yang terpaksa hidup sebagai pelarian di negara sendiri dan juga kaum Syria yang ditindas dengan penuh kejam. Ini tidak termasuk dengan ancaman ideologi seperti Liberalisma,Syiah,LGBT dan lain-lain. Sebagaimana yang kita dapat lihat pada isu tuntutan COMANGO baru-baru ini. Ke manakah perginya pembela umat ini? Ke manakah perginya khalifah yang tugasnya adalah untuk memelihara umat islam?
Umat Islam Rohingya



Umat Islam Syria

ADAKAH KAU LUPA?

  Di zaman pemerintahan khalifah terakhir Bani Abassiyah, sungguhpun kerajaan Islam ketika itu terlalu lemah namun diriwayatkan berlaku satu peristiwa yang mengaibkan seorang individu Muslim di negara asing sehingga khalifah yang lemah itu mampu mengerahkan bala tentera Islam ke negara tersebut semata-mata kerana menebus maruah seorang Muslimah yang dizalimi. Kisahnya:

  Seorang perempuan Islam berniaga di sebuah negara bukan Islam. Kemudian perempuan tersebut terjatuh sehingga sebahagian auratnya dilihat oleh orang-orang kafir lalu diejek-ejek dan ditertawakan oleh orang-orang kafir tersebut. Perempuan itu mengadu dengan berteriak "wa Muktasima, wa Muktasima" (Wahai Muktasim, Wahai Muktasim). Kemudian orang kafir mula mengejek muslimah tersebut dengan mengatakan "Adakah kau ingat bahawa Khalifah kau akan datang sejauh ini untuk membela kamu?".

  Kejadian ini dilihat oleh seorang lelaki Islam lalu beliau datang ke Baghdad mengadu kepada Khalifah al-Muktasim tentang penghinaan yang diterima oleh perempuan Islam tersebut. Apabila sampai kepada pengetahuannya, Khalifah al-Muktasim berkata "Labaik ya ammah" (Ya wahai ibuku). Lantas al-Muktasim mengarahkan tentera Islam menuju ke negeri tersebut, menyerang dan menawan dengan sebab seorang perempuan Islam dihina. Cuba bayangkan, demi izzah seorang muslimah. Demi maruah seorang muslimah, seorang khalifah sanggup mengisytiharkan perang terhadap sebuah negara dan menghantarkan hampir semua bala tentera beliau.

DIMANAKAH PEMBELA UMAT PADA HARI INI?

  Kini, berapa banyak Muslimah yang dicabul kehormatannya oleh kuffar ? Berapa banyak Muslimah yang berteriak meminta tolong dari kezaliman yang dideritanya? Berapa banyak kaum Muslimin yang ditawan pemerintahan kafir maupun pemerintahan murtad ? Bukankah sudah terdengar teriakan mereka dari penjara di Guantanamo (Cuba), Abu Gharib (Irak), Bagram (Afghanistan), Gaza (Palestina) dan penjara-penjara Amerika dan Inggris di seluruh dunia. Dimanakah Khalifah hari ini?

HANYA GERHANA BELUM TERBENAM MATAHARI

  Jangan berasa lemah dan jangan berasa hina, kerana kita adalah yang paling mulia andaikata kita beriman. Pembantaian dan penindasan yang terjadi ini tidak akan kekal lama. Kesedaran umat islam semakin hari semakin meningkat, jiwa-jiwa pemuda yang ikhlas dalam mendirikan agama ini mula bertambah dengan mendadak. Mana mungkin seorang muslim akan redha hidup tanpa bayangan khilafah. Pelbagai jemaah mula merancakkan aktiviti dakwah dan tarbiyyah mereka untuk menyedarkan umat ini. Umat ini masih mempunyai harapan. Kita adalah harapan Ummah.
Islam akan bangkit mengalahkan kuffar seperti matahari yang timbul menerangi kegelapan malam


"Saudaraku,Janganlah engkau putus asa, kerana putus asa bukanlah akhlak seorang muslim. Ketahuilah bahawa kenyataan hari ini adalah cita-cita semalam, dan cita-cita hari ini adalah kenyataan hari esok. waktu masih panjang dan hasrat untuk wujudnya kedamaian masih tertanam dalam jiwa masyarakat kita, walaupun fenomena-fenomena kerosakkan dan kemaksiatan menghantui kita. Yang lemah tidak akan lemah buat selama-lamanya dan yang kuat tidak akan selamanya kuat."
                                                                                       Hassan Al-Banna

Read More | Komen

Sehingga Para Pemuda itu Menyedari...

Kehidupan seorang pemuda itu hakikatnya penuh dengan tanggungjawab, tetapi kebanyakan mereka langsung tidak sedar. Bahkan pemuda hari ini tanpa rasa bersalah menghabiskan banyak masa kosong mereka dengan perkara yang hanya membangkitkan nafsu hiburan dalam diri mereka sahaja. Kelalaian pemuda Islam zaman sekarang memberikan kelebihan kepada musuh-musuh Islam untuk terus menindas ummat Islam baik dari segi zahir mahupun batin, fizikal ataupun mental, sedangkan pemuda itu sendiri tidak menyedari.


Perkara ini telah disampaikan oleh Luqman Hakim bin Annuar sempena pembentangan Wacana ABN (agama, bangsa dan negara) yang dijalankan hampir setiap malam setelah habis peperiksaan STAM. ABN memberikan peluang kepada semua pelajar STAM untuk menyampaikan pembentangan mereka menggunakan slideshow dengan ringkas, padat dan penyampaian yang berkesan selama 15-30 minit.

Tekannya lagi, secara umumnya terdapat 3 tanggungjawab utama dalam kehidupan pemuda yang mesti dilaksanakan secara sempurna dan tidak diremehkan. Yang berikut ialah;

1.Untuk beribadah kepada Allah.
 
Apa yang dimaksudkan dengannya ialah tunduk dan patuh kepadaNya dalam segenap aspek kehidupan.  Berserah diri kehadratNya dalam setiap perkara yang ingin dilakukan serta bersabar atas takdir ketika musibah menimpa.

 وما خلقت الجن والإنس إلا ليعبدون
 Maksud : “Dan tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka beribadat kepadaKu.”-Az-Zariyat,56-


2.Untuk mengikuti manhaj rabbani.
 
Manhaj rabbani menunjukkan cara hidup yang diperintahkan oleh Allah, bukan hanya dalam ibadah khusus seperti solat dan baca quran sahaja, malah setiap perbuatan perlu mengikut acuan Allah. Oleh kerana itulah kita selalu mendengar istilah "islamic banking", "islamic finance", "islamic entertainment" dan lain-lain, kerana manhaj yang rabbani itu wujud dalam segenap aspek. Wajib bagi pemuda mengikutinya tanpa menurut kehendak nafsu darah muda yang bergelojak dalam diri diri, membuak-buak dalam perbuatan.

 ومن يبتغ غير الإسلام دينا فلن يقبل منه وهو في الأخرة من الخسرين
 Maksud : “Barangsiapa yang mencari agama selain Islam,maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya,dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi.”-Ali Imran,85-


3)Untuk memberikan waladan ketaatan hanya kepada Allah,RasulNya dan orang-orang mukmin.
 
Pengertian Wala ‘ ialah memberi pertolongan,mencintai, mengasihi, menghormati dan bersama dengan golongan yang dicintai itu zahir dan batin. Wala’ hanya kepada Allah,RasulNya dan orang-orang mukmin.

 إنما وليّكم الله ورسوله والذين ءامنوا الذين يقيمون الصلوة ويؤتون الزكوة وهم ركعون
Maksud : “Sesungguhnya penolong kamu hanyalah Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat dan menunaikan zakat,seraya mereka tunduk (kepada Allah).”-Al-Maidah,55-

Hubungan baik dengan bukan Islam tidak akan menjadi masalah sehinggalah apabila sebahagian dari orang Islam terlalu lunak hati dengan orang kafir.

“Wahai orang2 yang beriman sesiapa diantara kamu berpaling tadah dari agamanya,maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Dia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia,mereka pula bersifat lemah lembut terhadap orang2 yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang2 kafir…” -Al-Maidah,54

Dari Jabir Bin Abdillah Al-Bajli bahawa Rasulullah S.A.W membai’ahnya agar “Memberi nasihat kepada semua muslim dan berlepas diri(bara’) dari semua kafir.” -Riwayat imam Ahmad.

Segala agenda dalam kehidupan pemuda muslim sepatutnya hanya bercorakkan kewajipan-kewajipan ini tanpa menyeleweng dari landasannya. Moga para pemuda menyedari hakikat ini dalam usaha membangkitkan ummat yang sedang parah.

*sumber rujukan: buku  حتى يعلم الشباب karangan Abdullah Naseh Ulwan
Read More | Komen


stam

stam
 
Copyright © 1433H | 2012M. AIM | Membina Generasi Harapan . Hak cipta adalah terpelihara.
Laman ini dibangunkan oleh Unit Media Akademi Ikatan Muslimin